Panduan Membuat Roti
Author: HAJAH NORAINI BT HJ. ZAKARIA // Category: Tip dan Panduan
Membuat roti tidaklah susah jika kita tahu teknik dan kaedah asasnya.Bahan asas yang digunakan adalah yis(yis segera lebih mudah), tepung roti, tepung serbaguna, serbuk penaik, bread improver, bread softener dan lain-lain bahan tambahan. Roti komersil lebih menggunakan tepung roti berbanding tepung serbaguna. Tepung roti mengandungi kandungan protin tinggi sehingga 14 % dan ini akan menghasilkan roti yang lebih kenyal dan elastik. Sering kita tertanya-tanya mengapa roti yang dibeli di bakeri lebih lembut berbanding dengan roti yang dibuat di rumah. Pada pendapat saya perbezaan peralatan seperti mixer dan oven, kawalan mutu yang ketat dan teknik pembuatan mewujudkan perbezaan tersebut. Jika kita mahu mencapai standard seperti mereka, kenalah mengikuti kursus membuat roti di peringkat profesional.
Bagaimanapun, kita sebagai home-baker masih boleh menghasilkan roti-roti yang enak stail home-made dengan peralatan yang seadanya. Jika tiada mesin besar, boleh uli dengan tangan atau guna food processor.Oven setakad oven Europa tu bolehlah.Yang penting kita tahu dan faham perkara-perkara asas tentang pembuatan roti ini.
Proses Membuat Roti
1. Mencampurkan bahan-bahan
Sediakan bahan-bahan yang diperlukan diatas meja. Mencampurkan bahan boleh dilakukan secara manual (pakai tangan) , food processor atau mixer. Satukan bahan-bahan kering seperti yis, tepung , gula,garam, serbuk penaik, bread improver dan bread softener.Gaul rata adunan tersebut. Kemudian baru masukkan majerin/shortening dan bahan-bahan cecair seperti telur, susu dan air. Gaul hingga menjadi doh yang kasar .Kemudian pindahkan ke dalam dulang untuk diuli. Jika gunakan mesin, tidak perlu dipindahkan.
2. Menguli
Adunan beryis seperti pau, donat atau roti hendaklah diuli hingga menghasilkan glutin yang memberi kekenyalan pada roti. Menguli akan menjadikan doh lembut, licin, kenyal dan mengaktifkan yis yang menyebabkan roti kembang. Menguli boleh dilakukan dengan tangan, atau guna mesin. Jika diuli dengan tangan mengambil masa 15 - 20 minit. Jika guna mesin, masanya lebih singkat. Doh yang cukup diuli boleh ditarik nipis seperti roti canai. Jika doh tidak cukup diuli, roti akan jadi keras dan liat.
3. Mengembang kali pertama (Proving)
Jika di bakeri, mereka mempunyai oven khas untuk mengembangkan doh. Tetapi jika dirumah, letakkan saja di tempat yang agak hangat seperti di bilik yang bertutup atau mana saja yang bersesuaian. Bulatkan doh yang telah diuli tadi, dan masukkan dalam bekas besar(besen). Tutup dengan plastik supaya tidak kering. Biarkan doh naik 2 - 3 kali ganda dari saiz asal dalam lebih kurang 45 minit.
4. Membuang gelembung angin
Yis yang hidup mengeluarkan karbon dioksida atau angin dan ini menyebabkan doh mengembang.Jadi angin ini perlu dikeluarkan dengan cara menumbuk doh ini satu kali sehingga kempis. Uli semula doh itu ke bentuk asalnya.Di peringkat ini doh menjadi lebih lembut dan bolehlah dibentuk mengikut citarasa anda.
5. Mengembang kali kedua (2nd proving)
Setelah doh dibentuk, susunkan atas dulang pembakar dan biarkan ia naik dua kali ganda dari saiz asal selama lebih kurang 20 minit.
6. Gris
Doh yang telah kembang itu boleh digriskan dengan campuran susu dan telur ataupun dengan mentega cair. Anda boleh hiaskan dengan keju parut, bijan atau apa saja yang sesuai.
7. Membakar
Roti yang telah digriskan tadi bolehlah dibakar dalam suhu yang agak panas iaitu 200 darjah celcius selama 20 minit atau bergantung kepada jenis roti. Roti yang cukup masak akan kecut sedikit dan ringan. Nakkan permukaan kulit roti cantik? semburkan air pada roti sebelum bakar...dan 5 minit sebelum selesai masak..sembur air lagi.
8. Menyimpan
Supaya roti anda kekal lembut untuk beberapa hari, setelah roti sejuk bungkus dengan plastik atau simpan bekas kedap udara. Jika terdedah, ia akan cepat kering.
Refleksi kehidupan 74
2 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan